Ahli UMNO Digesa Bangkit Bersama Bina Kekuatan Baru Parti

Sidang Media Majlis Tertinggi UMNO

KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa agar UMNO terus bangkit bersama rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang lain untuk terus mengorak langkah ke depan dalam usaha mewujudkan kekuatan baru di dalam parti.

Serentak itu beliau memberitahu parti telah mewujudkan ‘task force’ bagi melaksanakan tugas serta tanggungjawab dalam usaha untuk membangkitkan UMNO sebagai satu ‘force’ di dalam politik Malaysia.

“Kita telah mula menstrukturkan bukan hanya organisasi tetapi juga tindakan untuk mengorak langkah ke masa depan dan kita tidak pernah menoleh ke belakang. Kita akan bertindak di dalam sebarang kepayahan ini sebagai satu pasukan dan kita mahu supaya UMNO terus bangkit bersama rakan-rakan BN.

“Datuk Seri Hishammuddin dan saya yang telah diberikan kepercayaan oleh rakan-rakan dalam Majlis tertinggi (MT) dan mengharapkan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi serta bahagian serta peringkat negeri agar terus merapatkan barisan,” katanya dalam sidang media selepas mempengeruskan mesyuarat MT khas di sini, hari ini.

Katanya, barisan ini perlu dirapatkan kerana parti sedang menjalani ujian dan insya-Allah ujian ini hanya sementara.

“Insya-Allah ujian ini mahu melihat kekuatan kita dan kita harus mempunyai daya juang, daya tahan, daya saing dan insya-Allah kita akan menjadi suatu kekuatan baru.

“Biarpun Pakatan Harapan menjadi kerajaan pada hari ini tetapi sebagai suatu parti tunggal yang mempunyai ahli parlimen yang teramai dan kita tahu bahawa masalah sedang dihadapi oleh mereka, kita merasakan bahawa kekuatan UMNO dan BN harus digarap bagi menentukan bahawa sebarang bentuk kolaborasi dan rundingan adalah untuk menentukan bahawa kepentingan UMNO akan terus dijaga dan kepentingan BN akan diutamakan,” katanya.

Tegas Zahid jika ada mana-mana pihak yang cuba meracik-racik atau berusaha untuk melakukan sesuatu bagi menghancurkan UMNO, kepimpinan parti disemua peringkat akan bersatu dan akan berusaha menentang sebarang usaha ke arah itu kerana UMNO masih mempunyai roh yang kuat untuk bergerak biarpun orang yang mahu menghancurkan itu pernah memimpin parti atau berada di luar UMNO

“Harap mesyuarat yang akan diadakan di peringkat cawangan-cawangan dan bahagian sempena dengan mesyuarat perwakilan tahun ini akan dilakukan. Kita mulakan dalam bulan puasa ini dan walaupun kita tahu rakan-rakan di akar umbi ada masalah kerana dewan kita tidak boleh digunakan lagi disebabkan kerajaan negeri bukan dibawah kita tetapi hadapilah dan akuilah bahawa kita pembangkang.

“Kita ada kekuatan namun kita tidak mempunyai kerajaan dan dalam kepayahan inilah Datuk Seri Hishammudin dan saya serta rakan-rakan yang lain akan membantu sedaya yang boleh tetapi bantulah diri sendiri dengan penuh kekuatan roh dan semangat untuk berjuang di dalam UMNO,” katanya lagi. – MediaUMNO

Artikel disiar pada May 14, 2018 - 7:03 pm oleh admin



Leave a Reply