Berita

UMNO Sambut Ulang Tahun Ke-72 Secara Sederhana Di PWTC

KUALA LUMPUR, 11 Mei – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak dan barisan kepimpinan UMNO menyambut ulang tahun parti berkenaan ke-72 secara sederhana di Surau Ar-Rahman Putra World Trade Centre (PWTC).

Majlis berkenaan yang turut dihadiri kira-kira hampir 2,000 ahli serta penyokong dan pendokong parti dimulakan dengan solat Maghrib, solat hajat kemudiannya bacaan Yassin dan kemudiannya disusuli dengan tahlil yang diketuai Pengerusi Biro Agama UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Datuk Asyraf Wajdi Dusuki kemudiannya turut menyampaikan tazkirah ringkas sebelum solat Isyak yang diimamkan oleh Imam Surau Ar-Rahman, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin.

Selesai majlis berkenaan, mereka yang menghadiri majlis berkenaan mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan barisan kepimpinan parti.

Biarpun dibayangi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksikan pertukaran kuasa di peringkat pusat dan juga beberapa buah negeri, sambutan ulang tahun UMNO berlangsung dengan penuh teratur dengan sokongan daripada ahli parti pelbagai peringkat. – MediaUMNO