Berita

Najib Letak Jawatan Presiden UMNO, Pengerusi BN

KUALA LUMPUR, 12 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan perletakkan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) serta merta setelah BN gagal untuk membentuk kerajaan pada pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

Menurut beliau, perkara ini dilakukan di atas dasar tanggungjawab sebagai ketua di dalam BN apabila parti tersebut gagal untuk memenangi PRU ke-14 dan membentuk kerajaan.

“Maka, saya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan serta merta. Ini adalah kerana, mengikut prinsipnya sebagai ketua sesebuah parti, dan parti itu gagal dalam PRU, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya.

“Biro Politik juga bersetuju supaya Datuk Seri Zahid menjalankan tugas-tugas sebagai presiden parti. Ini adalah kerana tidak ada peruntuk sebagai pemangku di dalam perlembagaan. Biro politik juga bersetuju supaya Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menjalankan tugas-tugas sebagai timbalan presiden dan timbalan pengerusi BN,” jelasnya.

Beliau berkata demikian di hadapan pemberita dalam satu sidang akhbar khas yang diadakan di PWTC di sini hari ini.

Selain itu menurut Najib, sayap wanita, pemuda dan puteri memberi sokongan dan kerjasama sepenuhnya kepada cadangan tersebut.

“Saya suka menyarankan kepada semua ahli-ahli UMNO supaya memberikan sokongan yang padu, kerjasama yang erat dan juga keyakinan serta kepercayaan yang sepenuhnya kepada kepimpinan baru dalam menghadapi segala cabaran masa kini yang serius, dan mengambil langkah positif agar sokongan rakyat kembali kepada UMNO.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli-ahli UMNO yang memberikan sokongan kepada saya dan kepercayaan sejak saya memegang jawatan sebagai presiden parti dan juga jawatan-jawatan yang lain sebelum itu.

“Saya tetap yakin, jasa UMNO dan BN adalah terlalu besar kepada negara kita. Selama lebih 60 tahun, kejayaan negara kita tidak dapat dinafikan adalah berpunca daripada sumbangan kepimpinan UMNO dan BN.

“Sebab itulah kita merasa sedih dengan apa yang berlaku, namun sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi, kita terima keputusan rakyat dengan hati yang terbuka. Mungkin ini adalah peluang untuk kita memperbaiki lagi apa saja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan.

“Saya juga memberi jaminan, bahawa saya tidak akan meninggalkan UMNO dan akan terus menyokong UMNO, sebab tidak ada parti yang ada tolok bandingannya dengan UMNO,” ujarnya lagi. – MediaUMNO