Berita

Janji Pembangkang Pecat Pegawai Tinggi Kerajaan Sebagai Tidak Masuk Akal

PUTRAJAYA, 20 Mac – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyifatkan cadangan pembangkang untuk memecat pegawai tinggi kerajaan jika menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) sebagai tidak masuk akal dalam keadaan tenaga kerja perkhidmatan awam yang adakalanya tidak mencukupi.

Beliau memberikan contoh kekurangan kakitangan di kementeriannya, Perbadanan Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Bagi menampung keperluan sektor awam, beliau berkata kerajaan mengambil pekerja secara kontrak dan sambilan.

“…tidak tahu mana letak ‘sense’ mereka,” katanya kepada media selepas majlis pecah tanah projek Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip), Terminal Pengangkutan Awam dan Pusat Penjaja Bumiputera di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada sesi dialog di Seremban, akan memecat semua pegawai tertinggi kerajaan jika menang PRU14.

Mengulas aksi dalam video yang menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menghasut kanak-kanak agar membenci kerajaan dalam satu program pelancaran kelas tuisyen di Jelutong, beliau berkata itu adalah satu bentuk manipulasi.

“Apa yang dia buat berbeza dengan apa yang saya lakukan sebelum ini, saya hanya nak menaikkan semangat patriotisme. Saya tak sebut benda lain dan tak kata undi UMNO atau undi Barisan Nasional.

“Saya hanya nak tanam semangat patriotisme yang antara lain tanpa UMNO kerajaan ini takkan wujud, negara tidak akan merdeka. Itu adalah sejarah,” katanya. – Bernama