Ucapan

Ucapan Hari Wilayah Persekutuan 2018

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera Dan Salam Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera

1. Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V.

Ampun Tuanku
Sembah Patik Mohon Diampun

2. Pada hari yang penuh istiadat dan bersejarah ini, patik bagi pihak seluruh warga Wilayah Persekutuan, dengan rendah hati dan tulus ikhlas, merafakkan sembah menjunjung kasih, di atas titah dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat bersempena Hari Wilayah Persekutuan.

3. Patik sekalian mengangkat sembah takzim di atas ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2018 yang berlangsung pada hari ini.

4. Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku ke majlis ini amat besar maknanya buat patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan.

Ampun Tuanku,

5. Hari ini, Gagasan Wilayah Persekutuan yang telah ditubuhkan pada 1 Februari 1974 terus melakar pelbagai kemajuan. Ini adalah atas kelangsungan pembangunan dalam Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Mamanda Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak dengan dibantu oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Bin Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri, di samping sokongan penuh Kementerian patik dan warga Wilayah Persekutuan keseluruhannya.

6. Dalam kesinambungan meneruskan lakaran kecemerlangan, sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 terus mengekalkan tema ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’, yang bertepatan dengan aspirasi untuk menjadikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar yang memenuhi aspek persekitaran harmoni, dengan kehidupan rakyat yang selesa dan selamat.

7. Keutamaan dalam memastikan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan menjadi teras pentadbiran tanpa mengenepikan permuafakatan untuk perpaduan yang menjadi kunci kepada kelestarian masyarakat di kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Ampun Tuanku,

8. Aspirasi terhadap pembangunan dan kemajuan berterusan Wilayah Persekutuan bukan hanya dilihat terhadap tiga wilayah utama di dalamnya sebaliknya ia melibatkan keseluruhan tinjauan dalam negara lantaran landskap utama bagi Malaysia ialah Ibu Kota Kuala Lumpur, iaitu pintu gerbang utama bagi negara kita.

9. Sehubungan itu, adalah menjadi tanggungjawab patik dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memastikan kebolehupayaan dan kemajuan berterusan dilaksana dalam semua peringkat, sama ada pembangunan fizikal dan persekitaran serta pembinaan sahsiah serta kepribadian moral yang tinggi.

10. Dalam masa yang yang sama, kerjasama akrab diteruskan dengan semua pihak, dari peringkat kerajaan Pusat hinggalah Kementerian Wilayah Persekutuan, dengan melibatkan kakitangan awam kepada penglibatan kerjasama pihak swasta dan orang perseorangan, agar keberkesanan kecemerlangan dapat dirasai bersama-sama oleh semua lapisan masyarakat, tanpa melihat latar belakang atau perbezaan kaum kerana yang penting adalah kebersamaan merasai ‘Wilayah terus Ceria, Rakyat kekal Sejahtera’.

11. Dengan amanah yang dipikul, patik akan terus berusaha memastikan setiap perancangan pembangunan dan kemajuan dibuat berasaskan keperluan untuk kesejahteraan rakyat selaras dengan agenda Kerajaan Persekutuan yang berpaksikan Transformasi Nasional 2050 atau TN50, iaitu inisiatif jangka panjang dalam membentuk aspirasi Malaysia berasaskan suara rakyat.

Ampun Tuanku,

12. Dalam keadaan ekonomi antarabangsa yang masih tidak menentu, Wilayah Persekutuan tidak tercalar atau terpalit dengan situasi global sebaliknya kekal unggul menerajui kecemerlangan. Wilayah Persekutuan Putrajaya melakar kejayaan sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang termoden, terurus dan terancang manakala Labuan menjadi pusat perniagaan yang menempatkan hab minyak dan gas di samping pusat kewangan antarabangsa.

13. Lebih dari itu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengekalkan kedudukannya dalam senarai 10 destinasi pelancongan paling popular di dunia pada tahun 2017, yang dikeluarkan oleh Euromonitor International, selain menjadi antara bandaraya keempat dunia yang paling sesuai didiami, berdasarkan kepada nilai harga berpatutan, kelestarian dan tahap keselamatan yang tinggi.

14. Inisiatif berterusan Kementerian Wilayah Persekutuan bukan hanya untuk pencapaian di peringkat antarabangsa tetapi manfaat keseluruhan adalah kepada warganya bagi mendapat keselesaan dan pembelaan, tiada keluhan atau kegelisahan sebaliknya sejahtera mendiami Ibu Kota Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan di samping kebolehupayaan menjalani kehidupan seharian dengan gembira.

15. Selaras dengan itu, bagi mendepani masalah rakyat khususnya perumahan di bandar-bandar, kementerian patik telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam meneruskan pelaksanaan kediaman yang selesa sebagaimana Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), Projek Perumahan Rakyat (PPR), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PR1MA) serta penyerahan unit rumah di bawah Program Baiti Jannati @Wilayah Persekutuan.

16. Dalam kesempatan ini, patik dan warga Wilayah Persekutuan sekali lagi mengangkat sembah takzim di atas perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku yang telah mencemar duli berangkat ke Program Baiti Jannati dan Ramah Mesra Bersama Rakyat di Perumahan Awam Desa Rejang, Setapak baru-baru ini. Sesungguhnya, adalah menjadi hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menetapkan bahawa tidak ada rakyat terpinggir dari arus pembangunan, kemajuan dan kelestarian termasuklah golongan gelandangan yang turut dibela dan dibantu.

17. Beban kehidupan rakyat dan perbelanjaan seharian turut diteliti dengan bantuan diberikan dalam pelbagai bentuk sebagaimana aplikasi Kad Ceria selain sokongan berterusan menerusi program turun padang untuk menyelami permasalahan rakyat yang dinamakan ‘Wilayah Persekutuan Prihatin’ atau ‘Wilayah Persekutuan Care’. Bantuan-bantuan lain secara terus juga dilaksana seperti penyediaan bas sekolah percuma kepada anak-anak penghuni perumahan rakyat dan awam di seluruh Ibu Kota, bantuan persekolahan dan pelbagai bentuk lain bersesuaian dengan kesulitan yang dihadapi oleh mana-mana individu dalam Wilayah Persekutuan.

18. Bukan itu saja, warga Wilayah Persekutuan juga disemai sifat bersatu hati dalam budaya kerjasama, membentuk muafakat bergotong-royong yang diterapkan menerusi program Kenduri 1Wilayah dengan pelaksanaannya mencakupi seluruh Parlimen di Wilayah Persekutuan. Ini ditambah lagi dengan keberkesanan pelaksanaan Program Penggunaan Produk Biodegradasi di seluruh Wilayah Persekutuan yang bermula 1 Januari 2017 lalu yang secara tidak langsung dapat memupuk masyarakat untuk cintakan alam sekitar dan seterusnya menjimatkan kos pelupusan yang amat tinggi.

19. Dalam masa yang sama, peningkatan imej Ibu Kota dititikberatkan dengan aplikasi pengindahan melalui NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley membabitkan River of Life, Pedestrian Walkway, Heritage Trails, Greener Kuala Lumpur, MyRapid Transit (MRT), Sewerage Non-River, Greener KL, dan Solid Waste Management. Kesemua projek terbabit telah, sedang dan dalam pelaksanaan yang dilakukan secara berperingkat. Lebih dari itu, penyediaan task force turut dibuat bagi menyelia program-program yang bersifat kepentingan awam seperti perumahan, kebersihan, operasi banteras aktiviti haram, lalu lintas dan harga barang dalam Wilayah Persekutuan.
Ampun Tuanku,

20. Sesungguhnya, patik selaku pentadbir di Wilayah Persekutuan akan menjunjung amanah yang dipertanggungjawabkan melalui Kementerian Wilayah Persekutuan. Penyelarasan dilaksana di semua peringkat agar imej, kebersihan dan kualiti bandaraya dapat terus dipertingkat secara holistik dari semasa ke semasa lantas menjadi pemangkin kepada bandar-bandar lain, bukan saja di negara ini tetapi juga diperingkat global untuk turut berkembang.

21. Keharmonian dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan menjadi aspirasi patik dengan keazaman tinggi untuk meningkatkan integriti di semua peringkat, dan dalam masa yang sama mengurangkan kerenah birokrasi demi kemudahan rakyat. Keupayaan dalam mewujudkan kehidupan ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ tentunya tidak mustahil dengan kelangsungan perpaduan biarpun masyarakatnya berbilang bangsa, anutan agama berbeza dan budaya yang berlainan. Patik percaya, kesatuan dalam kepelbagaian terus menjadi acuan terbaik dalam melestarian warga Wilayah Persekutuan dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

22. Dengan itu, sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ini akan berlangsung selama satu bulan bermula Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan pada pagi ini. Selain itu, 32 program telah diatur yang berkonsepkan turun padang, `touch point’ berbentuk kemasyarakatan dan komuniti bermatlamatkan perpaduan, mesra rakyat dan mempunyai `feel good factor’ di samping program ilmiah dan kerohanian, sukan dan rekreasi, pemimpin bersama rakyat serta Tanggungjawab Sosial Masyarakat (CSR) dan juga program ekonomi setempat.

23. Dalam pelaksanaannya, penekanan terhadap kesederhanaan yang memastikan elemen penjimatan dan perbelanjaan optimum diaplikasi malah konsep smart partnership dibuat dengan merealisasikan inisiatif pengurangan kos seperti yang disarankan oleh pihak Kerajaan.

Ampun Tuanku,
Sembah Patik Mohon Diampun,

24. Bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2018 ini, seramai 370 orang akan menerima Darjah Kebesaran, Bintang Dan Pingat Wilayah Persekutuan. Pengurniaan ini diberi berdasarkan kepada khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan selama ini di Wilayah Persekutuan. Semoga dengan kurnia yang dianugerahkan maka ia akan dapat menyuntik semangat serta komitmen yang tinggi kepada penerima di samping terus berusaha bagi menjayakan Wilayah Persekutuan kekal ceria dan sejahtera.

25. Sehubungan itu, Patik bagi pihak semua warga Kementerian Wilayah Persekutuan, anggota pentadbiran, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan seluruh rakyat jelata di bawah jajahan takluk Tuanku dengan penuh hormat dan takzimnya menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.

26. Patik sekalian memanjatkan doa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melanjutkan usia dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas Seri Paduka Baginda Tuanku.

Sekian.

Ampun Tuanku beribu ampun, Sembah patik harap diampun.