Berita

Wilayah Persekutuan: Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan Kekal Unggul – Tg Adnan

KUALA LUMPUR, 1 Feb – Wilayah Persekutuan kekal unggul menerajui kecemerlangan tanpa tercalar atau terpalit dengan sebarang situasi global seperti keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Wilayah Persekutuan Putrajaya terus melakar kejayaan sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang termoden, terurus dan terancang.

“(Wilayah Persekutuan) Labuan pula menjadi pusat perniagaan utama yang menempatkan hab minyak dan gas, di samping pusat kewangan antarabangsa,” katanya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat Hari Wilayah Persekutuan 2018 di Istana Negara di sini, hari ini.

Beliau berkata manakala menurut laporan Euromonitor International, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berjaya mengekalkan kedudukannya dalam senarai 10 destinasi pelancongan paling popular di dunia tahun lepas.

“Selain itu, ia menjadi antara bandar raya keempat dunia paling sesuai didiami berdasarkan kepada nilai harga berpatutan, kelestarian dan tahap keselamatan yang tinggi,” katanya.

​​​​​​​Tengku Adnan berkata kementeriannya akan melaksanakan penyelarasan pada semua peringkat agar imej, kebersihan dan kualiti bandar raya dapat dipertingkatkan sentiasa secara holistik dari semasa ke semasa.

“Keharmonian dan kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan menjadi aspirasi patik dengan keazaman tinggi untuk meningkatkan integriti pada semua peringkat dan dalam masa sama mengurangkan kerenah birokrasi demi kemudahan rakyat.

“Keupayaan dalam mewujudkan kehidupan ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ tentunya tidak mustahil dengan kelangsungan perpaduan, biarpun masyarakatnya berbilang bangsa, anutan agama berbeza dan budaya yang berlainan,” katanya.

Katanya beliau percaya kesatuan dalam kepelbagaian terus menjadi acuan terbaik dalam melestarikan warga Wilayah Persekutuan dan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Beliau berkata sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ini akan berlangsung selama sebulan, bermula istiadat hari ini.

Sebanyak 32 program telah diatur iaitu antaranya yang berkonsepkan turun padang, sentuhan hati berbentuk kemasyarakatan dan komuniti bermatlamatkan perpaduan, mesra rakyat dan mempunyai ‘feel good factor’, katanya.

IMG-20180202-WA0001

IMG-20180202-WA0006