Berita

40 Lepasan SPM Ditaja Yuran Teruskan Pengajian Di Bawah NBOS

PUTRAJAYA, 23 Nov – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan menaja yuran bagi 40 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) di Putrajaya bagi meneruskan pengajian di Kolej Komuniti Jelebu, Negeri Sembilan.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata inisiatif itu adalah di bawah program khas Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Akses Pengajian KWP dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata program itu memberi peluang kepada pelajar yang masih belum mendapat tawaran daripada mana-mana pusat pengajian untuk menyambung pengajian dan meningkatkan kemahiran bagi masa depan yang lebih baik.

“Negara kita memerlukan khidmat mereka yang mempunyai kemahiran teknikal dan vokasional. Kalau semua hendak jadi jurutera, arkitek, siapakah yang akan melakukan kerja-kerja berkemahiran tinggi di dalam negara ini,”katanya ketika berucap pada Program NBOS Pengambilan Pelajar Kementerian Wilayah Persekutuan Bersama Kolej Komuniti Jelebu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Kolej Komuniti Jelebu Muhammad Aznor Abdul Aziz berkata bagi pengambilan November ini, tiga kursus ditawarkan iaitu Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan, Sijil Teknologi Pembinaan Bangunan dan Sijil Sistem Komputer dan Rangkaian.

Katanya kesemua kursus yang ditawarkan membolehkan pelajar sama ada menyertai industri, menjadi usahawan atau menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dengan mematuhi syarat-syarat tertentu.

“Program ini boleh diklasifikasikan sebagai program yang berimpak tinggi kerana ia dapat menggalakkan dan membuka peluang yang luas untuk pelahar mendalami ilmu kemahiran yang tinggi.

Kemahiran tinggi inilah yang akan menjadi pemacu untuk para pelajar mencipta masa yang gemilang,” katanya.

IMG-20171123-WA0011

IMG-20171123-WA0012

IMG-20171123-WA0013

IMG-20171123-WA0016

IMG-20171123-WA0018

IMG-20171124-WA0003

IMG-20171124-WA0006

IMG-20171124-WA0007

IMG-20171124-WA0009

IMG-20171124-WA0015