Berita

Ceriakan Deepavali, Aplikasi Perayaan Untuk Perpaduan dan Kesejahteraan

PUTRAJAYA – ‘Ketua Kampung’ Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada masyarakat Hindu sementara menyeru masyarakat tempatan untuk bersama-sama meraikannya dalam suasana masyarakat majmuk di negara kita.

“Uniknya negara kita berkongsi perayaan dalam rakyat pelbagai bangsa dan masyarakat majmuk yang cukup harmoni. Inilah kesatuan dalam kepelbagaian yang jadi kunci perpaduan dan keamanan di negara kita,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya berkata, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat di negara ini untuk berkongsi apa-apa perayaan bersama-sama malah ia juga diangkat sebagai satu cara untuk mengeratkan perpaduan antara satu sama lain.

“Kunci utama yang menjadikan negara kita harmoni dan sejahtera adalah atas kesepaduan dalam kepelbagaian. Biarpun kita ada pelbagai bangsa, Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa tetapi kita meraikan setiap perayaan dalam suasana yang harmoni dan saling hormat-menghormati. Itulah uniknya masyarakat kita dan dapat saling memahami,” katanya.

Beliau turut berpesan agar menggunakan cuti perayaan ini sebagai salah satu cara mengeratkan hubungan sama ada dalam keluarga, mahupun dalam masayarakat yang pelbagai kaum.