Berita

PM Serah Kurma Sumbangan Arab Saudi Kepada Masjid, Surau W. Persekutuan

PUTRAJAYA, 26 Mei – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyerahkan 10 tan kurma sumbangan kerajaan Arab Saudi kepada semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Majlis penyerahan sumbangan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, diadakan selepas solat Jumaat di Dewan Makan Ibnu Khaldun di Masjid Putra di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Misi Kebudayaan di Kedutaan Diraja Arab Saudi di Malaysia Dr Zayed Al-Harithi dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.

Perdana Menteri menyerahkan sumbangan Khadimul Haramain atau Penjaga Dua Kota Suci itu kepada wakil masjid dan surau Jumaat membabitkan 70 buah masjid dan 110 surau Jumaat di Kuala Lumpur dan dua masjid serta 14 surau Jumaat di Putrajaya.

Najib turut melancarkan Program Ihya Ramadan peringkat Kebangsaan 1438 Hijrah yang merupakan program kerohanian bagi mengimarahkan masjid sepanjang Ramadan.

Terdahulu, Najib menunaikan solat Jumaat bersama-sama umat Islam dan mendengar khutbah bertajuk ‘Ramadan Bulan Tarbiah’ disampaikan Jamil, yang kemudian mengimamkan solat berkenaan.
IMG-20170526-WA0016

IMG-20170526-WA0017

IMG-20170526-WA0022

IMG-20170526-WA0028