Berita

Kerajaan Sedia Ada Bukan Hanya Fikir Bagaimana Mahu Menang Pilihan Raya Sahaja

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung UMNO Malaysia, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menegaskan bahawa kerajaan yang sedia hari ini merupakan satu kerajaan yang amat prihatin dan sentiasa berusaha untuk memberikan keselesaan kepada rakyat, dan bukanlah sebuah kerajaan yang hanya tahu memikirkan bagaimana untuk memenangi pilihanraya umum sahaja.

Menurut beliau, pemimpin di dalam UMNO dan juga Barisan Nasional bukanlah terdiri daripada ahli-ahli politik yang hanya tahu memikirkan bagaimana untuk memenangi pilihanraya sahaja, tetapi merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa memikirkan masa depan rakyat dan negara sejak lebih 60 tahun dulu.

“Kita sedar bahawa BN bukanlah sebuah kerajaan yang sempurna. Bagi saya, tidak ada kerajaan yang sempurna di dalam dunia ini. Tetapi percayalah, bahawa kerajaan yang sedia ada hari ini adalah kerajaan yang sentiasa memikirkan bagaimana untuk menambah baik kehidupan rakyat dan juga negara.

“Kerajaan hari ini bukanlah sekadar memikirkan untuk hari ini atau esok, tetapi kita mempunyai perancangan jangkamasa panjang berpuluh tahun dari sekarang, demi untuk memastikan kehidupan dan masa depan rakyat di negara terus berada di dalam keadaan selesa dan terbela.

“Antara perancangan masa depan kerajaan untuk rakyat adalah Tranformasi Nasional 50 yang dirancang demi kebaikan rakyat dan negara untuk jangka masa 30 tahun akan datang. Justeru itu, saya mengharapkan agar rakyat khususnya di kalangan orang muda, perlulah memberikan sokongan terhadap usaha-usaha kerajaan agar perancangan ini dapat direalisasikan,” ujarnya ketika berucap di program Dialog Transformasi Nasional 50 di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam.

Berhubung dengan perancangan TN50, beliau berkata bahawa pelan tersebut bukanlah satu wawasan baru kerajaan tetapi ianya adalah kesinambungan kepada wawasan-wawasan kerajaan sebelum ini.

“Kita sudah menghampiri Wawasan 2020 dalam masa tiga tahun lagi. Namun selepas wawasan 2020 tercapai, apakah pembangunan negara kita akan terhenti di situ sahaja? Sudah tentu tidak kerana ada banyak lagi pembangunan yang perlu dilaksanakan di negara ini.

“Maka dengan itu, kerajaan mewujudkan pelan Transformasi Nasional 50 yang meliputi penambahbaikan dari pebagai sudut termasuk pendidikan, prasarana, perumahan yang boleh kita capai menjelang tahun 2050 nanti. Pelan ini adalah usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia antara 20 negara maju dan berdaya saing di dunia menjelang tahun 2050 nanti,” jelasnya.

Beliau turut memuji pendekatan yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu berkongsi aspirasi dan impian rakyat dalam menjayakan pelan Transformasi Nasional 50 ini, yang tidak pernah dilakukan oleh perdana menteri sebelum ini.

“Kita lihat program dialog bersama rakyat seumpama ini giat dijalankan di seluruh pelusuk negara bertujuan untuk mengambil pandangan, aspirasi dan impian rakyat, agar ianya dapat diadunkan dan mungkin dijadikan panduan bagi melaksanakan pelan transformasi nasional ini mengikut acuan dan aspirasi rakyat di negara ini.

“Ini adalah kehendak Datuk Seri Najib yang berbeza dengan pendekatan pemimpin sebelum ini di mana beliau menggunakan pendekatan untuk mendengar dan menyelami denyut nadi rakyat, khususnya di kalangan anak muda untuk berkongsi apa impian dan aspirasi mereka untuk menjadi Malaysia sebuah negara yang maju dan berdaya saing dalam jangkamasa 30 tahun akan datang,” tegasnya.

IMG-20170517-WA0020

IMG-20170517-WA0021

IMG-20170517-WA0022

IMG-20170517-WA0023

IMG-20170517-WA0024

IMG-20170517-WA0025

IMG-20170517-WA0026

IMG-20170517-WA0028

IMG-20170517-WA0029

IMG-20170517-WA0032