Berita

iChef 2017 Catat Rekod MBOR, 4,235 Chef Berhimpun

PUTRAJAYA – Himpunan 4,235 chef tempatan dan antarabangsa sempena Festival Pertukaran Makanan dan Budaya Antarabangsa Putrajaya (iChef 2017) di sini menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

MBOR mengiktiraf acara itu sebagai Perhimpunan Chef Terbesar dan usaha juga sedang dibuat untuk membolehkannya menerima pengiktirafan Guinness World Book of Records yang rekodnya kini dipegang Mexico dengan himpunan 3,634 chef dari seluruh dunia.

Ikon iChef, Chef Zubir Md Zain menyerahkan sijil pengiktirafan MBOR itu
kepada isteri Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Pengerusi Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, Datin Seri Anggrani Sentiyaki di Dataran Putrajaya di sini malam ini.

Hadir menyaksikan penyerahan itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk
Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Seri Hasim Ismail.

Festival iChef Malaysia 2017 merupakan anjuran bersama Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, PPj, Persatuan Warga Cinta Negara (Pencinta) dan Finemen Holdings Sdn. Bhd.

Festival yang julung kali diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu bertujuan untuk mempromosikan produk makanan dan budaya Malaysia kepada dunia.

Ia bermula semalam bagi mewujudkan satu platform antarabangsa yang dapat memberi peluang kepada komuniti antarabangsa untuk memperkenalkan identiti dan budaya negara-negara dalam enam daripada tujuh benua di dunia.

Festival yang akan berakhir esok turut menganjurkan Pertarungan iChef Enam Benua dengan melibatkan 600 chef dan 30 juri antarabangsa.

Dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata himpunan chef tempatan dan antarabangsa ini membolehkan mereka menjadi ‘duta’ mempromosikan keunikan Malaysia di persada dunia.

“Mereka akan memberitahu dunia mengenai Malaysia…makanan, budaya dan orangnya,” katanya sambil menambah festival ini sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai industri masakan di negara ini,” katanya.

IMG-20170325-WA0033

IMG-20170325-WA0037

IMG-20170325-WA0036

IMG-20170325-WA0031

IMG-20170325-WA0019

IMG-20170325-WA0021

IMG-20170325-WA0024