Berita

Pertandingan Robotic Lego Education Space Diiktiraf Malaysia Book of Records

PUTRAJAYA – Pertandingan Robotic Lego Education Space Challenge yang disertai 1,980 pelajar hari ini, mencipta sejarah apabila tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penyertaan terbanyak dalam pertandingan robotik.

Pertandingan disertai 198 pasukan melibatkan pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara itu dianjurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.

Sijil pengiktirafan rekod itu disampaikan wakil MBOR, Mohamad Alex Edward kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pada majlis penutup pertandingan itu di Dewan Seri Siantan di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Seri Hasim Ismail.

Terdahulu, Tengku Adnan dalam ucapannya berkata penganjuran program itu bermatlamat sebagai salah satu strategi meningkatkan penglibatan pelajar dalam bidang sains, teknologi serta kejuruteraan dan matematik (STEM) sejajar usaha melahirkan lebih banyak pakar dalam bidang berkenaan.

Beliau berkata program itu mampu meningkatkan keseimbangan pembangunan modal insan warga Wilayah Persekutuan khusunya pelajar melalui pengisian aktiviti kreatif dan inovatif.

“Program ini diharapkan dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang dalam usaha memastikan keharmonian serta perpaduan dapat dikekalkan bagi kebaikan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Beliau berkata pertandingan itu juga bermatlamat bagi mengukuhkan integrasi dan perpaduan antara pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama khususnya di Wilayah Persekutuan.

Tengku Adnan berkata sebanyak 45 program dianjurkan bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan termasuk pertandingan seumpama itu dengan matlamat mahu penglibatan daripada semua pihak termasuk pelajar.

Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chan Wa dari Negeri Sembilan, bagi kategori sekolah rendah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Putih, Pahang, untuk kategori sekolah menengah, masing-masing berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan itu.

Mereka membawa pulang RM2,500, piala iringan, medal dan sijil.

IMG-20170222-WA0031

IMG-20170222-WA0032

IMG-20170222-WA0035

IMG-20170222-WA0039

IMG-20170222-WA0042

IMG-20170222-WA0045

IMG-20170222-WA0047