Ucapan

Ucapan Sempena Hari Wilayah Persekutuan 2017

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera Dan Salam Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera

1. Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 , Sultan Muhammad V.

Ampun Tuanku
Sembah Patik Mohon Diampun

2. Pada hari yang penuh istiadat dan bersejarah ini, patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan, dengan tulus ikhlas merakamkan sekalung tahniah di atas perlantikan Seri Paduka Baginda Tuanku sebagai Yang di-Pertuan Agong ke -15.

3. Patik sekalian merafakkan sembah menjunjung kasih, di atas titah dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mencemar duli bagi menyempurnakan istiadat pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan tahun 2017 yang berlangsung pada hari ini. Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku, ke majlis ini amat besar maknanya buat patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan.

Ampun Tuanku

4. Setiap 1 Februari, Sambutan Hari Wilayah Persekutuan diraikan bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya sebagai sebuah Wilayah Persekutuan. Sambutan ini merupakan kali ke-13 diadakan dan tahun ini bertemakan “Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera”. Ini selari dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan tahun 2017 sebagai tahun kesejahteraan dan kebajikan rakyat khususnya bagi warga Wilayah Persekutuan.

5. Wilayah Persekutuan adalah tumpuan masyarakat sama ada dari dalam atau luar negara. Ini kerana di Wilayahlah letaknya Bandaraya Kuala Lumpur dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya. Dengan yang demikian segala usaha untuk mensejahterakan Wilayah Persekutuan sentiasa dilipat gandakan demi Malaysia, My Nation, My Country, Negaraku.

Ampun Tuanku,

6. Ke arah usaha mensejahterakan Wilayah Persekutuan, Kementerian Patik dan agensi-agensi di bawahnya telah merancang dan melaksana pelbagai projek dan program untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang yang memberi fokus terhadap perkara-perkara berikut;

PERTAMA, memantapkan perancangan pembangunan fizikal Wilayah Persekutuan untuk kemampanan persekitaran,

KEDUA, menyediakan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan ekonomi Wilayah Persekutuan yang berdaya saing.

KETIGA, memperkasakan pembangunan sosial untuk kesejahteraan masyarakat di Wilayah Persekutuan.

KEEMPAT, meneruskan serta meningkatkan kualiti perkhidmatan perbandaran Wilayah Persekutuan demi kesejahteraan masyarakat dan

KELIMA, mempertingkatkan usaha ke arah memastikan Wilayah Persekutuan menjadi tempat tumpuan ramai di samping menjamin kelestarian masyarakat yang hidup di dalamnya.

Ampun Tuanku

7. Wilayah Persekutuan beriltizam untuk terus menjadi peneraju demi menjayakan pelbagai Projek dan Program Aku Janji Rakyat. Ini termasuklah inisiatif memastikan warga Wilayah Persekutuan memiliki rumah sendiri melalui Perumahan Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).

8. Bagi mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dan sebagai usaha membasmi kemiskinan bandar, Kementerian Patik telah mewujudkan kad ceria Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan diskaun bagi barangan tertentu, di samping itu, segala cukai yang berkaitan dalam penyelenggaraan Kementerian Wilayah Persekutuan juga tidak dinaikkan untuk tiga tahun ini, selain pemberian subsidi melibatkan kos pengangkutan serta kos penyelenggaraan perumahan awam dan rakyat.

9. Inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan ialah perkhidmatan bas sekolah secara percuma kepada anak-anak penghuni Perumahan Rakyat dan Awam di sekitar ibu kota. Langkah ini tidak habis di sini kerana Kementerian Wilayah Persekutuan akan terus berusaha melaksanakan gerak kerja dan mengenalpasti inisiatif lain dalam memastikan rakyat terus ceria dan sejahtera.

10. Dalam masa yang sama, Wilayah Persekutuan Labuan juga sentiasa diberi perhatian di mana satu Blueprint Pembangunan turut disediakan dengan tumpuan untuk mentransformasikan Labuan sebagai pusat pelancongan dan perniagaan yang berdaya saing.

Ampun Tuanku

11. Komitmen Patik serta Kementerian Wilayah Persekutuan dalam memastikan kelestarian serta keharmonian hidup rakyat tidak hanya tertumpu kepada pendekatan yang dinamik malah konsep turun padang sentiasa diamalkan. Dengan langkah ini permasalahan yang timbul di Wilayah Persekutuan dapat di tangani secara tuntas dan tepat. Budaya gotong-royong dan menanam kebersamaan dipupuk kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan.

12. Ini adalah selaras dengan hasrat Memanda Tuanku,YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang mahukan pemimpin turun sendiri berdamping dengan rakyat, demi menjiwai permasalahan dan mengetahui kehendak sebenar masyarakat diperingkat akar umbi serta menyelesaikan segala permasalahan mereka kerana rakyat sentiasa didahulukan dan pencapaian diutamakan. Inilah konsep yang didukung oleh kerajaan Tuanku hari ini.

13. Sehubungan itu, sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2017 pada tahun ini juga berkonsepkan turun padang. Ia akan dilaksanakan selama satu bulan bermula dengan Istiadat pada pagi ini, seterusnya program-program `touch point’ yang berbentuk kemasyarakatan dan komuniti akrab dengan penyerapan `feel good factor’ dibuat sebagaimana program Kenduri 1Wilayah di seluruh Parlimen Wilayah Persekutuan.

14. Sementara itu, Bandaraya Kuala Lumpur pula bakal menjadi tuan rumah kepada acara Sukan SEA ke-29 yang akan berlangsung pada 19 hingga 31 Ogos 2017. Patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan berbesar hati dan bersedia untuk menerima kehadiran kontinjen dari Negara-negara Asia Tenggara, dan semestinya Bandaraya Kuala Lumpur akan di perkemaskan kesiap siagaan infrastrukturnya demi nama baik Kuala Lumpur dan Malaysia tercinta.

Ampun Tuanku,
Sembah Patik Mohon Diampun,

15. Bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kali ke-9 ini, seramai 375 orang akan menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan. Ini adalah pengurniaan yang diberi berdasarkan kepada khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan selama ini kepada Wilayah Persekutuan.

16. Semoga dengan pengurniaan ini dapat menyuntik semangat dan komitmen yang tinggi kepada penerima yang bertungkus lumus memberi bakti dan kesetiaan menjadikan Wilayah Persekutuan terus maju, makmur dengan rakyatnya yang sejahtera.

17. Sehubungan itu, Patik bagi pihak semua warga Kementerian Wilayah Persekutuan, anggota pentadbiran, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan seluruh rakyat jelata di bawah jajahan takluk Tuanku dengan penuh hormat dan takzimnya menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.

18. Patik sekalian memanjatkan doa semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala melanjutkan usia dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas Seri Paduka Baginda Tuanku.

Sekian.

Ampun Tuanku beribu ampun, Sembah patik harap diampun.