Berita

Selamat Hari Deepavali, Manfaatkan Perayaan Untuk Perpaduan Semua

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak warga tempatan untuk meraikan setiap perayaan di Malaysia sebagai alternatif terbaik untuk perpaduan semua.

Beliau yang mengucapkan selamat hari Deepavali kepada masyarakat India melihat keunikan masyarakat negara ini yang sentiasa meraikannya bersama.

“Dalam setiap perayaan, masyarakat Malaysia menyambutnya bersama-sama atas semangat kesejahteraan dan persefahaman. Inilah yang perlu kita terus pelihara,” katanya.

Beliau turut menasihatkan warga Putrajaya yang ingin pulang ke kampung halaman atau bercuti agar memastikan keselamatan diutamakan.

“Pada musim perayaan ini kita perlu pastikan rumah kita berkunci dan memaklumkan kepada jiran tetangga atau pihak berkuasa di samping berhemah ketika memandu,” katanya lagi.