Berita

Jadikan Sukan Budaya Ke Arah Gaya Hidup Sihat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat Malaysia menjadikan sukan sebagai amalan dan budaya ke arah gaya hidup sihat sepanjang tahun dan tidak mengehadkan penyertaannya hanya pada Hari Sukan Negara.

Beliau berkata sekiranya penyertaan bersukan hanya dibuat pada sambutan Hari Sukan Negara, ia tidak akan menjadi wadah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang cergas dan tahap kesihatan yang baik.

“Saya mahu definisi Hari Sukan Negara ialah hari-hari kita bersukan. Tidak perlu bersukan secara formal. Kalau tidak berapa jauh, kita boleh berjalan kaki. Kalau dua atau tiga tingkat, tak perlu naik lif tetapi naik tangga.

“Amalan pemakanan juga perlu dijaga, tolak makanan berlemak, jangan cari soal sedap sahaja sebaliknya sedap dan sihat,” katanya ketika merasmikan Hari Sukan Negara 2016 di Presint 2 di sini hari ini.

Hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober dipilih sebagai Hari Sukan Negara. Ia merupakan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan.

Najib berkata sukan juga adalah wadah penyatuan untuk meningkatkan semangat patriotisme kepada negara.

Beliau memberi contoh apabila wira dan wirawati sukan beraksi di Sukan
Olimpik dan Paralimpik di Rio de Janeiro, Brazil baru-baru ini, rakyat Malaysia tetap memberi sokongan kepada atlet di depan kaca televisyen walaupun mereka beraksi beribu-ribu batu jauh.

“Ini merupakan detik paling bermakna. Kita berasa bangga dan berasa berdiri lebih tinggi kerana kejayaan mereka memberi inspirasi dan menyerlahkan imej negara,” katanya.

Najib berkata sambutan Hari Sukan Negara tahun ini ‘cukup luas’ dengan penyertaan lebih tujuh juta rakyat Malaysia di seluruh negara berbanding 5.1 juta pada tahun lepas, dan mencatatkan Malaysia Book of Records dengan penyertaan paling ramai.

Sebanyak 22,500 aktiviti diadakan di seluruh negara semasa Hari Sukan Negara termasuk di kawasan kampung dan daerah.

Kerajaan-kerajaan negeri dan kementerian-kementerian turut mengadakan pelbagai aktiviti sempena Hari Sukan Negara itu.

Najib turut melakukan ‘walkabout’ di sekitar Putrajaya sempena hari sukan negara itu termasuk menunjuk bakat memecahkan papan karate bersama ahli taekwondo bagi Program Seni Mempertahankan Diri sebelum menyertai kayuhan menuju ke Dataran Putrajaya di Presint 3.

Sebelum itu, perdana menteri juga melepaskan peserta Kayuhan Hari Sukan Negara.

Beliau juga menyertai hampir 17,000 warga pendidikan dan pelajar berjalan sejauh 4.5 kilometer bagi acara Jalan Ria 1Murid 1 Sukan di Dataran Putrajaya.

Najib juga membuat sepakan penalti pada acara futsal dimana pemain badminton negara Datuk Lee Chong Wei merupakan penjaga gol.

IMG-20161008-WA0058

IMG-20161008-WA0053

IMG-20161008-WA0041

IMG-20161008-WA0006

IMG-20161008-WA0044

IMG-20161008-WA0022