Berita

Majlis Pecah Tanah MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya Untuk Rakyat

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan majlis pecah tanah projek Aliran Transit Massa (MRT) (MRT) laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) bernilai RM32 bilion, yang kedua selepas laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Upacara pecah tanah laluan sepanjang 52.5 kilometer itu menandakan satu lagi
pencapaian penting bagi Greater Kuala Lumpur untuk mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam dalam tempoh 15 tahun akan datang. Setakat akhir 2015, penggunaannya sebanyak 25 peratus.

Turut mengiringi beliau dalam majlis ini ialah Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Laluan pertama MRT-SBK, yang dibina pada kos RM23 bilion, kini 89 peratus siap.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Datuk Najmuddin Abdullah berkata laluan SSP akan mempunyai bilangan penumpang harian yang lebih besar sebanyak 530,000 orang, manakala laluan SBK akan menyaksikan penumpang harian sebanyak 440,000 orang.

Proses tender bagi laluan SSP masih dilaksanakan dengan 23 pakej kerja telah dianugerahkan setakat ini, kata beliau baru-baru ini.

Daripada laluan sepanjang 52.2 kilometer itu, laluan SSP akan mempunyai 37
stesen dengan 11 stesen bawah tanah di sepanjang 13.5 kilometer.

“Pembangunan laluan SSP ini adalah sangat penting untuk pertumbuhan mampan
Kuala Lumpur. Ketiga-tiga laluan MRT ini akan menjadi tulang belakang kepada sistem pengangkutan awam di bandar ini, yang juga termasuk transit aliran
ringan, monorel dan KTM Komuter.

“Laluan SSP akan menyediakan akses terutamanya ke kawasan pekerjaan, komersil, kediaman, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

Mengenai pembangunan SBK, Najmuddin berkata metro bersedia untuk memulakan fasa pertama operasinya pada Disember.

“Keseluruhan laluan akan siap untuk digunakan orang ramai pada Julai tahun depan. Setakat ini, kami telah memastikan kos pembangunan dalam anggaran belanjawan,” katanya.

Laluan SBK dan SSP akan disokong oleh 58 tren bagi setiap laluan. – BERNAMA

2016-09-15 23.45.06

FB_IMG_1473954022225