MESYUARAT UMNO BAHAGIAN PUTRAJAYA 2016

13913666_1486453391380404_4523033998384003391_o

A. PENDAHULUAN

• Bismillahirrahmanirrahim
• Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
• Syukur ke hadrat Allah SWT yang telah mengurniakan rahmat dan nikmat untuk kita berkumpul bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli UMNO.
• Inilah amanah parti yang perlu kita lunaskan selepas kita mengadakan mesyuarat Cawangan maka di peringkat Bahagian kita perhalusi usul untuk dikemukakan di peringkat lebih tinggi.
• Persidangan ini menjadi bukti struktur organisasi UMNO yang mantap, dari akar umbi di peringkat Cawangan dibawa ke peringkat Bahagian untuk diusulkan diperingkat Pusat.
• Juga jadi bukti keterbukaan UMNO untuk mendengar segala cadangan, idea dan suara dari semua peringkat bagi memastikan perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang membela agama, bangsa dan negara terus bersemarak.

B. PERKUATKAN PERPADUAN AKAR UMBI
• Hari ini UMNO diasak dengan pelbagai isu yang kebanyakkannya lahir dari persepsi, manipulasi dan provokasi oleh pihak tertentu.
• Bukan hanya ahli-ahli UMNO tetapi pemikiran rakyat juga diracuni dengan agenda-agenda palsu dan isu-isu remeh yang tidak dibuktikan kebenarannya, hujah dibuat tanpa fakta, tuduhan bertali arus dengan kata-kata penuh nista, pemimpin, parti dan kerajaan dipalit dengan sengketa.
• Benar, ada musuh yang sentiasa mencari ruang dan peluang untuk memusnahkan perpaduan UMNO.
• Ya, ada pihak yang menunggu masa untuk menghancurkan kerukunan dalam UMNO.
• Memang, wujud seteru yang mahu UMNO jatuh melalui ahli-ahli di dalamnya iaitu merobek kepercayaan dan keyakinan kepada kepimpinan parti.
• Namun, apa-apa juga yang dibuat oleh mereka ini pastinya tidak akan berjaya selagi benteng kesepaduan dan kerukunan dalam UMNO terus diutamakan.
• Kita mempunyai tanggungjawab yang besar dalam mendukung perjuangan UMNO.
• Tidak kira apa status kita, apa jawatan kita, tekad berkhidmat kepada parti perlu terus ada.
• Bukan hanya kepada yang berjawatan sahaja perlu berkhidmat sebaliknya tugas tergalas disetiap bahu ahli UMNO untuk menzahirkan gerak kerja mantap, memberi tanpa diminta, bekerja tanpa disuruh, bersedia tanpa mengharap balasan dan melaksanakan tugas dengan ikhlas atas nama perjuangan Islam, bangsa dan negara .
• Dalam masa yang sama, kita janganlah angkuh, usahlah riak atas apa yang telah kita capai jauh sekali untuk memandang rendah orang lain.
• Buangkanlah semua perangai buruk, sifat negatif dan penyakit-penyakit yang membusukkan, apatah lagi nak pasang impian untuk agenda peribadi.
• Tak usahlah nak berhasad dengki, nak beriri hati, nak syok sendiri. UMNO parti untuk semua. Jadilah ahli UMNO yang kecil namun berjiwa besar, ada untuk menambah, wujud untuk menyahut seruan dan bekerja bagi memperteguh perpaduan semua.


C. HAYATI SEJARAH, SELAMI PERJUANGAN UMNO

• Kita ahli UMNO maka tentunya kita mesti tahu kenapa UMNO ditubuhkan?
Untuk siapakah perjuangan UMNO?
Apakah yang UMNO mahukan?
Kenapa UMNO perlu terus wujud?
• Ketahuilah bahawa ketulusan perjuangan UMNO bukanlah sekadar sebuah parti politik semata-mata kerana asas dan tujuannya ditubuhkan berteraskan nasionalisme Melayu untuk kemerdekaan dan kedaulatan.
• UMNO mendukung dan mempertahankan Perlembagaan negara dengan konsep Raja Berperlembagaan.
• Perjuangan UMNO selari dengan Perlembagaan Malaysia. Kita berjuang untuk UMNO samalah seperti kita mempertahankan Perlembagaan negara kita.
• Penzahiran sokongan kepada perjuangan UMNO perlu terus dilaksana dalam semua peringkat, di setiap masa dan dalam apa jua keadaan dengan kita sendiri tahu, faham dan menghargai nilai sejarah yang UMNO dukung sejak penubuhannya lebih 70 tahun yang lalu.
• Sudah tujuh dasawarsa perjalanan UMNO. Ada banyak cabaran, laluannya berliku, bukan hanya onak duri tapi UMNO juga pernah dilanda ribut dan badai.
• Jika hari ini kita melihat bagaimana UMNO di tentang oleh bekas Presidennya, maka ketahuilah bahawa itu bukan perkara baru.
• Mungkin kebetulan atau barangkali memang begitu takdir Allah SWT ke atas UMNO. Parti ini sentiasa ditentang oleh bekas pemimpin atasannya sendiri yang sebelum ini amat lantang memperjuangkan asas dan tujuan UMNO namun akhirnya….
• Jika kita imbas kembali sejarah, pengasas UMNO Datuk Onn Jaafar juga menentang UMNO selepas keluar dari parti dan menubuhkan Parti Negara. Kemudian dalam pilihan raya umum 1959 menjadi pembangkang untuk berlawan dengan Parti Perikatan ketika itu.
• Begitu juga pada zaman Tun Dr Mahathir yang jadi Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.
• UMNO ditentang oleh bekas Timbalan Presidennya yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Tengku Razaleigh Hamzah, keluar dari UMNO dan menubuhkan Semangat 46. Juga menjadi sekutu dengan pembangkang membentuk Gagasan Rakyat yang menetang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum 1990 dan 1995.
• Tak habis di situ, UMNO juga ditentang oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri melalui partinya Keadilan. Bermula pada Pilihan Raya Umum tahun 1999, bekas pemimpin UMNO ini menjadi penentang kerajaan, bersekutu juga dengan pembangkang membentuk pakatan rakyat kemudian pakatan harapan dan selepas ini entah apa pula?
• Jadi, tidak hairan dengan situasi sekarang apabila kita juga berdepan dengan bekas Presiden UMNO, bekas Timbalan Presiden UMNO dan beberapa lagi bekas pemimpin dan ahli-ahli UMNO yang sudah tak sehaluan lagi dengan asas dan tujuan utama perjuangan parti ini.
• Namun yakinlah, UMNO ini parti keramat, parti yang dilimpahi rahmat dan akan terus dipelihara-Nya selagi mana kita ahli-ahlinya, dari akar umbi hinggalah ke pemimpin atasan, di semua peringkat dan semua peringkat usia terus sepakat dan sependapat; percayalah sekiranya kita terus bersatu, bersetia dan berkhidmat dengan ikhlas atas nama Islam, demi bangsa Melayu dan kerana Malaysia tercinta maka tentunya UMNO akan terus mara.

D. SIAPSIAGA UNTUK PILIHAN RAYA KE-14
• Ketahuilah bahawa perjuangan UMNO tidak akan bermakna sekiranya kita tidak bersiap siaga bagi berdepan pilihan raya umum.
• Memang matlamat perjuangan kita untuk agama, bangsa dan negara tetapi fokus kita untuk ini adalah memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum ke-14 nanti.
• Memantapkan UMNO adalah untuk pilihan raya. Gerak kerja bukan hanya untuk mengumpulkan ahli-ahli UMNO tetapi yang paling penting adalah memastikan setiap ahli parti berdaftar sebagai pengundi dan saling berusaha untuk menambah sokongan terhadap Barisan Nasional.
• Inilah UMNO, parti lengkap yang mempunyai struktur, berorganisasi, ada hala tuju dan jelas dalam konsep perkongsian kuasa bersama-sama anggota Barisan Nasional. Kesatuan dalam kepelbagaian, kita faham dan kita bersepadu.
• UMNO bukan parti tunggal tetapi sama-sama berkerja dan menggunakan hanya satu lambang dalam pilihan raya untuk Barisan Nasional.
• Inilah yang cuba ditiru oleh pakatan pembangkang namun nampaknya mereka gagal mencapai kata sepakat yang hanya dapat dilaksanakan dalam Barisan Nasional.
• Janganlah fikirkan siapa yang bakal jadi calon atau siapa yang bakal bertanding kerana yang penting adalah pastikan jati diri dan akar umbi teguh memahami hala tuju dan fokus UMNO bersama Barisan Nasional.
• Tugas kita untuk memberi penerangan, memberi kefahaman dengan bukti yang memang ada depan mata kita, dapat kita rasai dan nikmati setiap masa. Barisan Nasional adalah kerajaan yang berteraskan rakyat, dari rakyat kerana rakyat.

E. PENUTUP
• Akhir kata saya menyeru para perwakilan sekalian untuk bersama-sama membina benteng kekuatan menerusi keutuhan perpaduan dengan berpegang kepada cogan kata parti, ‘Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat’.
• Teruskanlah sokongan yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan perjuangan UMNO bersemarak dari dahulu, kini dan kepada generasi pewaris seterusnya.
• Dengan lafaz Bismillahhirrahmanairrahim, saya merasmikan Persidangan UMNO Bahagian 2016. Selamat Bersidang.
• Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Artikel disiar pada August 11, 2016 - 4:17 pm oleh admin



Leave a Reply