Berita

Pastikan ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’ Terus Jadi Realiti

PUTRAJAYA – Bersempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan, Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menyeru warga tempatan agar sama-sama menyemarakkan sambutannya sebagaimana tema ‘Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera’.

Katanya, sewajarnya rakyat menghargai keadaan aman sehinggakan dapat hidup selesa, beriadah dengan tenang tanpa sebarang ketakutan yang mana kuncinya adalah perpaduan dan kerjasama untuk terus ceria dan sejahtera.

“Sehubungan itu, soal perpaduan ini perlu sentiasa dijaga dengan baik; dan kita patut bersyukur kerana kerajaan yang mentadbir negara ini mampu mengekalkan keamanan dan mengutamakan kepentingan rakyat serta kesejahteraan negara.”

Katanya, perayaan Hari Wilayah Persekutuan yang disambut pada tarikh 1 Februari setiap tahun adalah bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

“Tema Sambutan Hari Wilayah pada tahun ini adalah ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ yang bertepatan dengan aspirasi untuk menjadikan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai sebuah bandar ceria, bersih serta indah, kehidupan yang kondusif dan selamat seiring dengan konsep sense of belonging yang ingin diterapkan kepada setiap warganya.”

Ujarnya, kesejahteraan warga Wilayah Persekutuan dalam segala aspek menjadi keutamaan untuk memastikan semangat perpaduan, kekitaan, kebersamaan dan perasaan sayang terus teguh di kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Selamat Hari Wilayah 2016