Berita

Jangan Terpengaruh Dengan Fitnah – Tg Adnan

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan masyarakat supaya jangan mudah terpengaruh dan keliru dengan usaha pihak tertentu memburukkan organisasi atau agensi berteraskan Islam.

Beliau berkata tindakan itu menunjukkan ada pihak yang tidak senang dengan
usaha kerajaan memperkasa institusi berteraskan Islam yang dilaksanakan melalui agensi berkaitan.

Katanya dalam era ini, dakwaan atau fitnah mudah tersebar menerusi jaringan
media sosial dan rakyat perlu bijak menilai dan menapis setiap maklumat yang diterima terutamanya yang berbaur fitnah.

“Contoh terkini ialah mereka menyebarkan dakwaan tentang seorang menteri agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom) menggunakan dana hasil sumbangan rakyat atau duit anak yatim untuk perbelanjaan di luar negara.

“Bagaimanapun dakwaan itu telah dinafikan Datuk Seri Jamil Khir, malah beliau sedia mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menyebarkan fitnah tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Zakat 2015 anjuran Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Dataran Putra di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata selaku Pemangku Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau merasa lega kerana dakwaan itu segera dijawab Jamil Khir beserta penjelasan yang tersusun, sekaligus mampu mengelak rakyat daripada terkeliru dengan dakwaan itu.

Semalam, Jamil Khir dalam kenyataan, menafikan dakwan beliau menyalahgunakan
hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara dan menyifatkan tuduhan Pengarah NOW (National Oversight and Whistleblowers) Akmal Nasir sebagai kenyataan jahat berupa fitnah serta menyimpang daripada fakta sebenar.

Akmal Nasir dan The Malaysian Insider yang melaporkan kenyataan itu juga
digesa menarik balik dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

Tengku Adnan berkata sebagaimana urusan pengumpulan dan agihan zakat secara profesional yang dijalankan PPZ-MAIWP, beliau percaya setiap pegawai atau kakitangan agensi berkaitan Islam yang lain juga sedar mengenai tanggungjawab
dan amanah terhadap tugasan yang dilakukan.

“Jadi, janganlah dengar cerita yang bukan-bukan di luar sana kerana cerita sebegitu biasanya menunjukkan mereka tidak suka dengan apa yang kita laksanakan,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan menarik perhatian bahawa walaupun
sebuah negara kecil, Malaysia yang ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) merupakan antara negara yang mempraktikkan pentadbiran berasaskan Islam, antaranya mempelopori konsep perbankan Islam, menubuhkan universiti Islam selain memperkenalkan kaedah pengurusan zakat yang efisien seperti dilaksanakan PPZ.

“Ini semua dilakukan untuk memastikan pentadbiran negara dan pengurusan agama lebih tersusun, sekaligus membantu rakyat daripada mudah dipesongkan oleh
fitnah dan tuduhan tidak berasas,” katanya.

IMG-20151114-WA0013

IMG-20151114-WA0017

IMG-20151114-WA0009

IMG-20151114-WA0008

IMG-20151114-WA0007