BeritaUcapan

Salam Maal Hijrah, Bersama Jadikan Perpaduan Nadi Transformasi Negara

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengajak semua pihak khususnya masyarakat Putrajaya untuk bersama-sama melahirkan rasa syukur kerana dapat menyambut kedatangan Awal Muharam yang menandakan bermulanya tahun baru bagi orang-orang Islam.

Katanya, sewajarnya kedatangan Maal Hijrah ini diraikan dengan rasa kesyukuran atas segala rahmat dan hidayah-Nya yang telah dilimpahkan kepada kita.

“Maal Hijrah ini bukan sekadar mengajak kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik tetapi juga untuk memantap dan memperkukuh ikatan ukhuwah sesama umat Islam iaitu menjadikan perpaduah lebih kukuh kerana ia adalah asas dalam kesejahteraan negara kita,” katanya.

Ujarnya, pemantapan hubungan sesama umat Islam akan menjamin terbinanya satu kekuatan ummah yang boleh menunjangi pembangunan sesebuah negara sebagaimana yang telah dibuktikan oleh Nabi Muhammad SAW.