Berita

UMNO Wilayah Persekutuan Ikrar Taat Setia Kepada Kepimpinan Najib

BENTONG — Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan hari ini melafazkan ikrar taat setia tanpa berbelah-bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pada masa yang sama, mereka juga menyampaikan rasa hormat yang sangat tinggi kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mutakhir ini, kita melihat banyak komen-komen yang dilemparkan kepada Najib yang juga Presiden UMNO dan Dr Mahathir yang sudah banyak berjasa dan berbakti kepada kepentingan rakyat dan negara ini” katanya.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung BN berkata demikian dalam satu sidang media khas bagi menyokong kepimpinan Najib di Colmar Tropicale, Bukit Tinggi di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Setiausaha UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee dan Bendahari UMNO Wilayah Persekutuan Datuk Johari Ghani.

Tengku Adnan berkata berikutan kritikan terhadap kepimpinan Najib baru-baru ini, Dr Mahathir yang banyak berjasa kepada negara itu juga kini menerima komen negatif daripada banyak pihak.

“Kami sememangnya tidak pernah bersetuju dengan komen-komen negatif yang dilemparkan terhadap Najib yang sudah melakukan banyak kebaikan kepada rakyat dan negara sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Tengku Adnan berkata musuh sebenar UMNO adalah tentangan daripada gabungan parti-parti pembangkang dan bukannya bertelagah sesama sendiri atas isu-isu yang dilihat bersangkut dengan kepentingan peribadi.

Beliau berkata seharusnya semua pihak menyokong dan memberikan peluang kepada Najib untuk melaksanakan segala program transformasi yang telah direncanakan demi faedah rakyat dan negara.

“Keutamaan kami ialah memperkasakan perjuangan UMNO dan mengekalkan sokongan orang Melayu terhadap parti bukannya terjebak dan terheret dengan isu-isu yang sengaja diputarbelitkan oleh pihak oportunis dan berkepentingan,” katanya.

“Saya menghormati pandangan dan kritikan yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan tidak melihat sebarang
masalah antara mereka (Najib dan Dr Mahathir),” kata Tengku Adnan.

Beliau juga meminta semua pihak berhenti melagakan kedua-dua pemimpin itu dan menurutnya segala persoalan serta kritikan tersebut telahpun dijawab Najib.

“Sebagai pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, saya ingin menegaskan bahawa tiada apa yang lebih bermakna selain mengekalkan kewibawaan UMNO sebagai satu-satunya parti yang mempunyai kekuatan memperjuangkan kepentingan rakyat semua kaum di negara ini,” jelasnya.

Justeru itu, kejayaan UMNO sebagai sebuah parti tunggal yang berjaya memperjuangkan kepentingan semua kaum mesti dipertahankan oleh semua pihak termasuk pendukung dan bekas-bekas pemimpin yang pernah menyandang jawatan dalam parti, katanya.

Ketika ditanya tentang cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim supaya beliau menjadi orang tengah antara Dr Mahathir dengan Najib, Tengku Adnan berkata tiada keperluan sedemikian kerana kedua-dua mereka memang tidak mempunyai sebarang permasalahan.

“Mereka sebelum ini ada berjumpa dan tidak ada sebarang masalah, sebenarnya masalah ialah orang ketiga yang hendak lihat mereka berpecah,” katanya.

Terdahulu kira-kira 200 pemimpin UMNO Wilayah Persekutuan yang menghadiri Bengkel Pemukiman UMNO Wilayah Persekutuan itu menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap kepimpinan Najib.

IMG-20150411-WA0017