Berita

Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan ke-41

PUTRAJAYA – Warga Wilayah Persekutuan menyambut ulang tahun penubuhannya pada 1 Februari selepas 41 tahun penubuhannya iaitu pada tahun 1974. Sehubungan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyeru agar semua rakyat tempatan bersatu hati dengan mengekalkan perpaduan demi kesinambungan kemajuan dan kesejahteraan berpanjangan.

“Kehidupan kita hari ini adalah penentu kepada kelangsungan generasi akan datang yang pastinya kita mahukan anak-anak kita kelak mempunyai kecemerlangan yang berterusan,” katanya.

Jelas beliau, dengan tema sambutan kali ini ialah ‘Wilayahku Ceria’ merealitikan hasrat kerajaan untuk matlamat memastikan semua berada dalam keadaan selesa, tanpa resah atau gelisah dalam menjalani kehidupan seharian di bandar-bandar Wilayah Persekutuan.

“Putrajaya adalah pusat pentadbiran yang menjadi contoh kepada bandar-bandar lain maka tentunya fokus semua pihak termasuklah dunia luar adalah kepada Putrajaya yang menandakan peri pentingnya kita menjaga kawasan ini.”

Tegas beliau, bersempena ulang tahun penubuhan Gagasan Wilayah Persekutuan, misinya terus didukung iaitu untuk menerajui kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan serta meningkatkan mutu hidup masyarakat dan membasmi kemiskinan keseluruhan.