BeritaUcapan

Jadikan Suka Duka 2014 Sebagai Tauladan Untuk 2015!

Assalamualakum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia

Tahun 2014 telah berlalu. Tahun 2015 menjelma dalam mengisi kehidupan kita yang pastinya telah pelbagai suka dan duka kita kecapi sepanjang tahun 2014. Banyak musibah sepanjang tahun 2014 yang kita boleh jadikan iktibar khususnya tragedi pesawat MAS MH370 dan MH17 pada pertengahan tahun. Dan kemudiannya pada penghujung tahun kita diuji dengan bencana banjir besar yang berlaku di Pantai Timur yang mana dikategorikan amat teruk. Alhamdulillah, dalam pelbagai hal yang berlaku, kita bersatu hati dan berganding bahu. Kita sama-sama berkongsi kehibaan, kita bersatu dalam kerumitan dan kemudian kita berusaha membantu mana yang memerlukan pertolongan.

Jadikanlah pelbagai hal yang berlaku sebagai pengerat hubungan dan perpaduan antara kita tanpa melihat kepada perbezaan termasuklah ideologi politik yang berbeza. Kita menolak kedangkalan pemikiran pihak luar yang hanya tahu bersandiwa dan menjadikan semua perkara sebagai asas dalam politik. Kita enggan bersekongkol dengan segelintir pihak yang hanya tahu melempar fitnah, melakukan manipulasi untuk persepsi murahan demi agenda peribadi walhal kepentingan keseluruhan masyarakat diketepikan.

Kita tidak mahu pemimpin yang bermuka-muka dan menjadikan pilihan raya sebagai mainan sebagaimana pada awal tahun 2014 apabila ada pemimpin pembangkang melepaskan jawatan hanya kerana mahu memenuhi hasrat individu tertentu selain kemelut politik yang meresahkan rakyat di sekitar Lembah Klang lantaran jawatan dan kedudukan jadi idaman.

Sesungguhnya, pelbagai insiden yang berlaku sepanjang tahun 2014 adalah pelajaran terbaik untuk kita jadikan tauladan. Justeru, marilah semua kita perkukuhkan muafakat dan perteguhkan ikatan perpaduan agar kesejahteraan negara akan tetap dapat kita pertahankan biar pun pelbagai cabaran mendatang. Ibaratnya perpaduan kita perkukuh sehinggakan yang berat menjadi ringan apabila kita pikul bersama dan yang ringan kita rasai jua dengan jinjing bersama.

Salam Tahun Baru 2015.

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR
Menteri Wilayah Persekutuan / Ahli Parlimen Putrajaya / Ketua UMNO Bahagian Putrajaya

IMG-20141231-WA0043

IMG-20141231-WA0047

IMG-20141231-WA0051

IMG-20141231-WA0052