Berita

Hari Berkabung Malaysia Demi MH17, Bersatu Dalam Kedukaan

PUTRAJAYA – Warga tempatan diseru untuk bersama-sama melahirkan rasa dukacita dan menyambut Hari Berkabung Negara untuk nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17.

Ahli Parlimen tempatan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, hari ini rakyat perlu bersatu hati dan menunjukkan rasa empati kepada keluarga MH17 yang merupakan tragedi negara yang amat hebat.

“Marilah kita bertafakur selama seminit dengan menyedekahkan al-Fatihah kepada mangsa yang beragama Islam dan semoga kita dijauhkan dari sebarang tragedi dan kesedihan lain pada masa hadapan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga menyarankan agar UMNO setiap bahagian akan mengadakan majlis tahlil untuk mangsa MH17.

“Kita adalah masyarakat yang prihatin dan sentiasa mengambil berat soal kemanusiaan sejagat termasuk Palestin dan negara bergolak lain apatah lagi apabila keluarga kita sendiri ditimpa kesusahan maka tentunya rasa hiba kita tidak dapat digambarkan.”

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Setiausaha Agung UMNO turut meminta orang ramai untuk bersama-sama berkabung pada hari ini dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang separuh tiang, berpakaian warna suram serta menangguhkan apa-apa acara yang berbentuk hiburan.

Hari berkabung Malaysia ini khusus bagi seluruh negara berkabung untuk mangsa yang terkorban dalam nahas MH17, dan untuk memberi penghormatan kepada mereka. Kumpulan pertama jenazah itu melibatkan 11 orang beragama Islam dan sembilan orang bukan Islam

Mayat mangsa nahas MH17 warga Malaysia dijangka tiba di tanah air (KLIA) lebih kurang pada jam 10 pagi menggunakan pesawat khas dari Amsterdam. Majlis penuh istiadat sebagai menghormati jenazah MH17 akan bertempat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Penerbangan MH17, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur membawa 298 orang – 283 penumpang dan 15 anak kapal – ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap perbuatan itu.