Berita

Malaysia Kutuk Tragedi Malang Pesawat MH17 Dalam Sidang Khas Parlimen

KUALA LUMPUR – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tidak bertamadun, tidak berperikemanusiaan dan ganas oleh pihak yang dipercayai menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 di timur Ukraine, minggu lepas.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Malaysia kecewa dan marah apabila kawasan tragedi itu tidak dihormati sebagai kawasan larangan, selain kelewatan mengendalikan mayat mangsa kejadian itu.

“Namun demikian, buat masa ini kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak sehinggalah bukti benar-benar sahih diperoleh,” katanya ketika membentangkan usul mengenai tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 pada Persidangan Khas Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Najib berkata Malaysia juga menggesa Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) selaku penjaga keselamatan penerbangan awam sedunia supaya mengeluarkan resolusi mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas pesawat MH17, sebagaimana yang telah dibuat dalam kes-kes seumpama itu sebelum ini.

“Tambahan pula, menembak jatuh pesawat komersial MH17 ini suatu tindakan sangat zalim dan merupakan jenayah yang sangat kejam dan sangat ganas,” tegasnya.

Penerbangan MH17 yang membawa 298 penumpang termasuk 43 warga Malaysia sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur apabila ia dipercayai ditembak dan terhempas di wilayah Donetsk pada Khamis lepas.

Najib berkata selain mengalu-alukan siasatan oleh badan bebas antarabangsa, Malaysia juga mendesak semua pihak untuk bekerjasama bagi memastikan siasatan mengenai punca tragedi yang menimpa pesawat MH17 dapat diselesaikan.

“Kita menuntut dan menyokong siasatan antarabangsa yang bebas dalam tragedy ini. Pihak yang bertanggungjawab terhadap berlakunya tragedi ini perlu dibawa dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini telah menerima secara sebulat suara resolusi bagi mendesak puak pemisah member akses tanpa halangan ke kawasan kejadian, selain menghentikan serta-merta semua kegiatan ketenteraan di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Najib berkata beliau juga telah mengarahkan Peguam Negara untuk mengkaji tragedi itu dengan teliti, bagi memastikan sebarang tindakan yang akan Malaysia ambil kelak adalah selaras dengan undang-undang antarabangsa.

Beliau bagaimanapun turut menarik perhatian bahawa persetujuan yang dicapai dengan Alexander Borodai, ketua wilayah lokasi MH17 terhempas, mengenai akses pasukan penyiasat bebas antarabangsa ke kawasan nahas dan jaminan keselamatan mereka, masih belum tercapai sepenuhnya.

Dalam pada itu, Najib turut menggariskan beberapa persoalan yang memerlukan jawapan segera mengenai insiden itu termasuk sama ada ia benar-benar ditembak dengan peluru berpandu, dalang di sebaliknya dan motif yang sebenarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan agar mana-mana pihak tidak membuat spekulasi yang boleh mengaibkan mangsa tragedi itu dan keluarga mereka.

“Ini bukan masanya untuk kita berwenang-wenang di media sosial menceritakan sesuatu yang barangkali faktanya tidak tepat atau tidak sahih,” katanya.
Najib mengulangi pendiriannya bahawa pergolakan geopolitik tidak menguntungkan sesiapa, malah hanya menyebabkan manusia semakin menderita kerana kehilangan orang tersayang.

Perdana Menteri memberi jaminan kepada keluarga mangsa tragedi MH17 bahawa kerajaan akan terus menuntut keadilan dan tidak akan berhenti mencari kebenaran walaupun berdepan kesukaran dan kepayahan.

“Sesungguhnya jua, let us walk through this difficult time together. Marilah kita jalani tempoh-tempoh dan waktu-waktu yang payah ini bersama-sama, bersatu dalam kesedihan.

“Moga-moga yang Maha Berkuasa memberi bantuan dan pencerahannya agar ada cahaya penyelesaian di hujung,” katanya.

Najib menyifatkan tragedi MH17 seumpama pembunuhan beramai-ramai dan menuntut pembunuhnya dibawa ke muka pengadilan.

Pada masa yang sama, Perdana Menteri turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang serta ketua-ketua parti yang lain, kerana turut mengutuk insiden itu.