Berita

Terima Kasih Jayakan Maidatul Rahman, Sokongan Rakyat Dihargai

PUTRAJAYA – Menteri Wilayah Persekutuan merangkap Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengucapkan terima kasih dan amat menghargai sokongan semua pihak dalam memastikan acara tahunan Ramadan di Putrajaya iaitu Maidatul Rahman berlangsung lancar.

Maidatul Rahman yang merupakan acara berbuka puasa beramai-ramai di Medan Selra Presint 8 telah diadakan bermula pada 1 Ramadan dan berakhir 20 Ramadan iaitu pada Jumaat lalu.

“Saya amat berbesar hati kerana acara yang kita rancangkan sentiasa berlangsung lancar dan mendapat sokongan daripada semua pihak termasuklah Maidatul Rahman ini,” katanya.

Jelas beliau, biarpun Maidatul Rahman telah berakhir namun diharap agar budaya yang diterapkan melalui program tersebut akan berterusan dan dapat menjadi kunci bagi mengukuhkan perpaduan dalam masyarakat.

“Kebersamaan kita dalam memastikan acara Maidatul Rahman ini sangat memberangsangkan malahan ini adalah antara contoh terbaik yang kita tunjukkan kepada masyarakat bahawa warga Putrajaya sentiasa mengalu-alukan kedatangan orang ramai dan amat terbuka dalam hal-hal kemasyarakatan,” katanya lagi.

Melalui program tersebut, budaya tolong-menolong turut diterapkan selain melahirkan rasa insaf dan mensyukuri setiap rezeki yang ada.